Kewujudan Kampung Igan bermula dari wujudnya sebuah
kampung iaitu Kampung Sekerang Igan. Asal usul yang bermula dengan
pelayaran rombongan yang diketuai oleh Sharif Sekerang. Mereka belayar
menggunakan rakit bermula dari Engkilo (Seberang Sibu) dengan tujuan
untuk mencari tempat dan membuka perkampungan baru. Rakit mereka belayar
mengikut arus sungai sehingga terdampar ke suatu tempat. Mereka singgah
dan terus mengambil kayu dan sebagainya untuk mendirikan pondok sebagai
tempat berteduh. Perbincangan pun dibuat supaya menamakan kampung
tersebut dengan nama Kampung Sekerang sempena nama ketua rombongan
mereka, Sharif Sekerang.
Pada masa tersebut, hanya
terdapat dua atau tiga buah keluarga sahaja yang tinggal di kampung
ini. Tambahan pula, semua penduduk masih belum mempunyai agama. Bertitik
tolak daripada itu, rombongan tersebut telah menyebarkan ajaran Agama
Islam kepada keluarga yang ada di kawasan tersebut. Bahasa pengantar
yang digunakan oleh rombongan tersebut ialah bahasa Melayu dan ianya
masih kekal menjadi bahasa perhubungan penduduk di Kampung Sekerang
sehingga ke hari ini. Pekerjaan penduduk di Kampung Sekerang ialah
menangkap ikan secara tradisional dan bertani.
No comments:
Post a Comment