Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sekerang Igan [E-MEL : sekerangselamanya.2014@gmail.com] [FACEBOOK : https://www.facebook.com/KpgSekerangIgan/] [TWITTER : https://twitter.com/KpgSekerangIgan] [INSTAGRAM : https://www.instagram.com/sekerangselamanya.2014/]
JKKK
Sunday, 7 September 2014
TOKOH SEJARAH KAMPUNG SEKERANG IGAN
MENGENANG SYARIF MASAHOR PAHLAWAN SERAWAK
SEMPENA HARI KEMERDEKAAN SERAWAK KE 51
Nama penuh beliau adalah As Sayyid as Syarif Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran. Beliau dilahirkan di Daerah Igan, Mukah di Serawak setelah abahnya menikahi seorang wanita Melanau dan menetap di sana. Abahnya yang lebih dikenali dengan nama 'Tuanku Syukran', wafat di Igan dan dimakamkan di sana1. Tuanku Syukran atau lebih dikenali dengan nama 'Syarif Sekerang' ini sangat dihormati penduduk sekitar sebagai orang pertama yang datang bersama rombongan pelayaran beliau ke Igan (Kampung Sekerang). Beliau telah mengislamkan masyarakat asal yang pada waktu itu beragama anenisme atau pagan2.
Kelahiran Syarif Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran ini juga berbeza pendapat beberapa sejarawan. Namun yang dapat dipastikan adalah sumber yang menyebut beliau lahir di Brunei3 adalah tidak bercanggah. Ini kerana sesungguhnya pada alaf itu, Daerah Mukah adalah dibawah takhluk Kesultanan Brunei Darussalam, sebelum penjajah Brooke merampas tanah tersebut dan sehingga pasca kemerdekaan Serawak, daerah itu kekal di bawah kerajaan Serawak.
Syarif Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran atau lebih dikenali masyarakat setempat dan ahli sejarah sebagai "'Syarif Masahor' adalah seorang arab Hadrami4 keturunan Sayyidina Ali bin Abi Talib Karamallahuwajhah dan Saydatina Fatimah binti Sayyidina Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam. Beliau merupakan cucu ke 31 Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam. Nasab beliau adalah as Sayyidus Syarif Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran bin Masyhor bin Hassan bin Muhammad bin Abdullah bin Abu Bakar bin Ali bin Umar bin Hassan al Banahsan bin al Kabir Syeikh Ali bin Abu Bakar Assakran bin al Faqih Muqaddam at Thsani Sidi Abdurrahman Assegaf. Beliau adalah keturunan Bani Alawi dari Sidi Almuhajir Ahmad bin Isa bersambung sehingga asy Syahid Sayyidina Hussein bin Sayyidina Ali Karamallahu Wajhah dan Saydatina Fatimah binti Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam5.
Sejarah awal kehadiran leluhur Syarif Masahor di Bumi Kenyalang (Serawak), masih belum dapat dibuktikan dengan sebarang penulisan ilmiah yang mantap melainkan beberapa pendapat yang mengatakan datuknya beliau, Syarif Masyhor bin Hassan bin Muhammad telah berkahwin dengan puteri kerajaan Brunei bernama Seri Banun Pengiran Bahauddin6 (yang sekarang keluarganya banyak menetap di Pahang). Asalnya Syarif Masyhor bin Hassan ini juga tidak dikenalpasti, tetapi berdasarkan catatan buku nasab 'as Syamsu Zohirah' karangan al Habib Abdurrahman Al Masyhor, abah atau ayah Syarif Masyhor (Datuk kepada Syarif Masahor) yang bernama Habib Hassan bin Muhammad adalah kelahiran Kota Tarim di Hadramaut, Yaman. Habib Hassan bin Muhammad ini telah ditulis sebagai 'بجواه' (bijawah) yang bermaksud keluar dari Tarim, menetap dan meninggal di Nusantara7.
Menurut catatan lama tulisan tangan Syarif Masahor- nasionalis Serawak, beliau dilahirkan pada tahun Hijriah 1242 pada 7 Ramadhan.
Cacatan beliau menyebut:
"Hijrah Nabi Muhammad Sallahu alaihi wa sallam seribu dua ratus empat puluh dua tahun kepada tahun di awal kepada tujuh haribulan Ramadhan kepada malam Arba'(Rabu) kepada waktu awal Isya' pada saat misteri maka diperanakkan Syarif Abu Bakar Masyhor Ibni Syarif Abu Bakar Sakran bin as Sayyid Syarif Masyhor bin as Sayyid Syarif Hassan Banahsan bin Assyeikh al Kabir al Qutb Ali nafaallahu wa barokatahu wa billahi taufiq, wa sallallahu ala Sayyidina Muhammad wa aalihi wasahbihi wa sallam. انتهى"
Begitulah beliau menukil tentang kelahirannya sekitar April tahun 1827 Masihi8. Catatan beliau ini masih disimpan rapi oleh keluarga Al-Aydrus yang menetap di Bahagian Sibu, Serawak. Bermulanya sejarah perjuangan Syarif Masahor ini adalah rentetan dari beberapa siri penentangan para Syarif yang dilantik oleh Kesultanan Brunei sebagai Gabenor, atau wakil kerajaan sekaligus pendakwah di beberapa daerah di Serawak (Brunei pada waktu itu). Kedatangan penjajah James Brooke telah menimbulkan kemarahan para Syarif-Syarif yang menjadi pembesar daerah bebas terutama daeran Skrang sehingga Saribas. Para pembesar Arab ini dikatakan mendapat sokongan penuh kaum Iban terutama di daerah Skrang, Saribas dan Batang Lupar9. Pembaharuan yang cuba diterapkan oleh James Brooke (datang pada tahun 1841) ternyata mengongkong, merugikan, menyebabkan sumber pendapatan terjejas dan lebih utama adalah gerakan Kristianisasi yang sangat pesat dilakukan mengancam akidah umat islam di Serawak pada waktu itu.
GERAKAN KEMERDEKAAN AWAL PARA SYARIF
Peristiwa Gerakan Sharif Sahab (1850-1860) turut berlaku di Bahagian Sibu. Kebangkitan ini didorong oleh keinginan pemimpin-pemimpin tempatan untuk mempertahan aqidah, mengekalkan kuasa dan hak tradisional. Penentangan mereka dikenali sebagai ‘pakatan Melayu’ atau ‘Episod Mukah’10. Kerajaan Brooke terpaksa mengambil tindakan tegas meminda kebangkitan ini kerana mahu menguasai kawasan pengeluaran sagu. Gerakan penentangan ini dipimpin oleh Sharif Sahap dan adiknya Sharif Mullah. Sharif Sahab menjadi pemerintah di Skrang dan adiknya di Saribas. Pengikut-pengikut mereka terdiri daripada orang Melayu dan orang Iban dari Saribas, Skrang dan Batang Lupar. Rajah Brooke tidak menyenangi pengaruh Sharif Sahap ke atas orang Iban terutama yang tinggal di sempadan. Rajah Brooke mendesak Pengiran Muda Hashim (Wakil Kerajaan Brunei di Kuching) mengenakan tekanan ke atas Sharif Sahab tetapi kurang berkesan. Rajah Brooke juga tidak menyenangi kegiatan Sharif Sahap dan kuncu-kuncunya. Malah pada tahun 1842 Sharif Sahap merancang menyerang Kuching tetapi dibatalkan kerana perkara ini bocor dan Rajah Brooke didapati membuat persediaan yang mencukupi.
Dalam usaha menghapuskan para Syarif ini dan sekutunya, Rajah Brooke menggunakan alasan ‘lanun’ (para Syarif/Sayyid ini dianggap lanun). Kerajaan Brooke gagal memberi penjelasan yang jelas terutama sasaran serangan. Tindakan Brooke dibantah keras oleh beberapa golongan di England termasuk pertubuhan agama11. Sejarawan England, Graham Irwin menganggap ‘kempen anti lanun’ ini sebagai kezaliman yang tidak perlu dan tidak berhati perut12.
Rajah Brooke telah berjaya meyakinkan kerajaan British supaya membantu beliau menghapuskan kegiatan lanun. Kapal-kapal perang British dihantar untuk membantu dari masa ke semasa. Pada tahun 1844, Kapten Henry Keppel dan kapal perang H.M.S. Dido dan Phlegethon Berjaya mengalahkan Sharif Sahab dan Sharif Mullah di Pemutus dan Undup. Bagaimanapun kedua bersaudara ini Berjaya meloloskan diri dan bersatu dengan Syarif Jaafar di Lingga. Pihak British memburu mereka hingga ke Kapuas dan ini memaksa mereka berundur ke Pontianak. Sharif Sahab kemudiannya meninggal di Pontianak.
SEJARAH AWAL GERAKAN SYARIF MASAHOR
Syarif Abu Bakar Masyhor bin Abu Bakar Sakran atau Syarif Masahor tumbuh membesar sebagai seorang yang berpegang teguh pada agama. Beliau sangat dikenali sebagai ‘guru ngaji’ yang mendalam ilmu agamanya, wara’, tawadu’ sehinggakan masyarakat setempat mengkagumi beliau13. Setelah mencapai usia matang, beliau diberi kepercayaan oleh abahnya untuk melakukan perjalanan sekaligus menjalankan dakwah di kawasan sekitar Igan, dan beliau sangat dikenali sebagai pendakwah yang mengislamkam Kampung Tengah, di Igan. Kerana ketokohan beliau sebagai pemimpin masyarakat, Kerajaan Brunei di bawah pemerintahan Sultan Abdul Mu’mein telah memberi kepercayaan untuknya menjadi Wakil Sultan di Daerah Sarikei kawasan Sungai Rajang pada tahun 1849. Beliau sangat berpengaruh dikalangan orang Melanau di Sungai Rajang dan orang Iban di Sungai Skrang14.
Syarif Masahor terkesan dengan perjuangan Syarif Sahab, Syarif Mullah, Syarif Jaafar dan beberapa Syarif yang lain15 yang berlaku lebih awal, serta kemarahan atas kebiadapan penjajah Brooke menceroboh kedaulatan wilayah yang ditadbirnya menjadi titik tolak kemaraan perjuangan beliau. Bangsa asing itu membina sebuah kubu di Kanowit yang diuruskan Henry Steel tanpa kebenaran dan pengetahuan Syarif Masahor. Tindakan itu seolah-olah usaha pertama dalam cubaan Brooke untuk menjajah Sarikei.
PERTEMPURAN DI MUKAH
Pada tahun 1855, berlaku pertempuran Antara Syarif Masahor dan sekutu Brooke (Pengiran Matussin). Beberapa ketika kemudian, daratan Mukah kelihatan di hadapan matanya dan sebaik perahu mereka tiba di pinggiran sungai, Syarif Masahor bersama ratusan askar yang menaiki 150 perahu, terus menyerang Bandar Mukah. Angkatan perang Sharif Masahor berjaya menguasai bandar itu seterusnya mengusir keluar Pangeran Matusin. Bagaimanapun, serangan nasionalis Serawak terhadap Pangeran Matusin yang menyokong Brooke menyebabkan bangsa asing itu bertindak balas.
Khuatir kemungkinan penentangan Syarif Masahor akan menjejaskan usaha mereka untuk menjajah serta memerintah Serawak, Brooke segera mengumumkan yang Syarif Masahor tidak lagi berkuasa di Sarikei dan wilayah itu berada di bawah pemerintahan mereka. Tindakan penjajah itu menambahkan lagi api kemarahan dan dendam pahlawan itu terhadap Brooke. Syarif Masahor bertekad untuk berjuang habis-habisan bagi mengusir bangsa asing itu dari bumi Serawak demi membela tanah air tercinta.
Dalam perjuangannya itu, beliau beroleh pakatan daripada seorang lagi pembesar Serawak iaitu Datu Patinggi Abdul Ghapur dari Kuching. Datu Patinggi Abdul Ghapur memang berdendam dengan penjajah itu lantaran Brooke sudah menjajah wilayah pemerintahannya sebelum itu. Seterusnya mereka mula merancang strategi bagi menjayakan hasrat memerdekakan bumi Serawak daripada penjajahan bangsa asing itu. Sasaran pertama mereka ialah menyerang kepentingan Brooke di Sarikei iaitu kubu bangsa asing itu di Kanowit yang diuruskan Henry Steel.
Pada Jun 1859, diketuai pahlawan Melanau iaitu Sawing dan Salakai, kubu Brooke itu diserang menyebabkan dua pegawai bangsa asing iaitu Steel dan Charles Fox, terbunuh. Serangan dan pembunuhan dua pegawai mereka menyebabkan Brooke tersentak. Kejadian mengejutkan itu segera tersebar di kalangan penduduk British di Serawak. Takut mereka akan menjadi sasaran amukan penduduk tempatan, ramai orang Eropah mula meninggalkan Serawak. Kebangkitan penduduk tempatan bagi menyerang mereka menyebabkan Kerajaan Brooke mula gusar lalu mereka segera bertindak. Pahlawan tempatan yang terbabit dalam serangan itu segera diburu.
Sepuluh yang ditahan dikenakan hukuman bunuh tetapi Kerajaan Brooke gagal mengambil tindakan terhadap Syarif Masahor kerana tidak memiliki bukti yang kukuh untuk mengaitkan pahlawan itu sebagai perancang utama serangan berkenaan.
SYARIF MASAHOR DISOKONG DUA PEMIMPIN TERNAMA
Kejayaan serangan pertama itu menyebabkan Syarif Masahor dan Datuk Patinggi Abdul Ghapur mula merancang serangan seterusnya. Kali ini, mendapat bantuan daripada seorang lagi pemimpin tempatan iaitu Pangeran Temenggung Hashim Jalil dari Sadong. Sasaran mereka pada serangan kali ini ialah Kuching dan perancangan segera diatur - Pangeran Temenggung Hashim Jalil akan memimpin pasukannya menyerang menggunakan jalan darat dari Pontianak, Kalimantan manakala pasukan Syarif Masahor akan mara dari Sarikei dan menyerang dari arah laut.
Bagaimanapun, perancangan itu ‘bocor’ dan diketahui Charles Brooke (anak saudara James Brooke) menyebabkan penjajah itu meminta bantuan Belanda untuk menahan Datu Patinggi Abdul Ghapur. Tokoh pahlawan itu kemudian ditangkap dan dipenjarakan di Betawi, Indonesia seterusnya meninggal dunia di sana (berbeza pendapat sejarawan tentang ini). Penahanan sekutunya itu tidak melemahkan semangat juang Syarif Masahor. Pahlawan itu meneruskan rancangan serangan mereka. Bersama pengikut setianya, beliau mara untuk menyerang Kuching pada Februari 1860.
Akan tetapi, serangan pada kali itu sememangnya sudah dijangka Kerajaan Brooke menyebabkan mereka sudah membuat persediaan bagi menghadapi tentangan itu. Seterusnya pertempuran hebat berlaku di Sungai Sadong. Pahlawan tempatan menentang hebat tanpa gentar tetapi mereka akhirnya gagal mengatasi kekuatan angkatan perang Kerajaan Brooke. Kapal dan perahu milik pasukan Syarif Masahor ditenggelamkan manakala 64 pengikutnya terbunuh menyebabkan pahlawan itu terpaksa berundur ke Mukah dan mendapatkan perlindungan daripada iparnya, Pangeran Nipa. Penjajah terus memburu tokoh berkenaan dan akhirnya mereka dapat mengesan kedudukan Syarif Masahor. Satu angkatan perang dikerahkan menyerang Mukah bagi menangkap Syarif Masahor tetapi usaha penjajah itu gagal kerana kekuatan kubu Pangeran Nipa cukup kuat untuk ditembusi.
PENGAKHIRAN HIDUP SANG PEJUANG
Tertekan kerana masih gagal menahan pahlawan karismatik Sarawak itu menyebabkan James Brooke belayar menggunakan kapalnya iaitu ‘Rainbow’ bagi menghadap Sultan Brunei dan memaksa sultan itu menyerahkan Mukah yang berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, kepadanya. Sebaik memperoleh Mukah daripada Kesultanan Brunei, James Brooke terus memburu Sharif Masahor sehingga pahlawan itu akhirnya ditangkap. Beliau dihukum buang negeri ke Singapura pada 1861.
Banyak kisah-kisah lisan keluarga dan penduduk tempatan yang menyaksikan Syarif Masahor sebagai seorang alim yang punya Karomah yang banyak baik sewaktu penentangan di Serawakmahupun di dalam buangan di Singapura. Antara perkara yang masih menjadi misteri adalah identitas Sayyid Mashhur di Kerling Selangor, seorang nasionalis yang dikatakan sebenarnya orang yang sama dengan Syarif Masahor Serawak. Para sejarawan bingung menetukan keabsahan sejarah mereka keran berlakunya banyak pertentangan fakta16. Namun, ahli keluarga yang menyimpan sejarah asal beliau punya cerita yang lebih menarik tentang ‘persamaan’ kedua tokoh ini yang tidak memungkinkan kita untuk berbicara secara panjang lebar di sini.
Kebenaran apapun yang terkubur disebalik sejarah beliau, sebagai ahlulbait Nabi Sallallahualaihi wa sallam, Syarif Masahor adalah contoh para salaf yang mengikut jejak leluhurnya yang mulia. Apa yang dilakukan bertitik tolak pada pegangan agama yang kuat dan menetang anasir-anasir yang mengancam akidah umat Islam. Perjuangan sucinya bagi membela tanah air gagal, namun ruh dan semngat juangnya tidak pernah luntur dari ingatan masyarakat di Serawak. Sharif Masahor meninggal dunia di Teluk Belanga, Singapura pada tahun 1890 seperti yang tercatat di dalam manuskrip lama simpanan keluarganya. Beliau dimakamkan bersama para kerabat Sultan Johor sebagai tanda menghormati ketokohan beliau.
Bagaimanapun, semangat dan jasa perjuangan beliau terus kekal diingati melewati masa dan namanya terus terpahat dalam sejarah tanah air sebagai seorang pejuang kemerdekaan menentang penjajah.
BI SIRRIL FATIHAH…
SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KE 51 NEGERI SARAWAK TERCINTA
(22 JULAI 1963-22 JULAI 2014)
Indeks:
1. Arkib Muzium Sarawak
2. www.igan.pi1m.my/
3. Perjuangan Anti Cession, Haji Hasbi Sulaiman
4. Perjuangan Anti Cession, Haji Hasbi Sulaiman
5. Syamsu Zohirah, al Habib Abdurrahman al Masyhur, Mufti hadramaut
6. www.geni.com
7. Syamsu Zohirah, al Habib Abdurrahman al Masyhur, Mufti hadramaut
8. Makhtutah asal Syarif Masahor, Sibu Sarawak...www.dateConversion.com
9. Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak, op.cit, hal 26; Sabihah Osman
10. Malay Muslim Political Participation: Sabihah Osman 1982
11. Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak: Sabihah Osman
12. Borneo Abad Ke-19: Graham Irwin 1986 hal 1981
13. Tun Ahmad Zaidi: Son of Sarawak, Sanib Said
14. www.tokohdalamkenangan.blogspot.com
15. Perjuangan Anti Cession, Haji Hasbi Sulaiman
16. The Identity of Sharip Masahor of Sarawak-Brunei and Syed Mashhor of Selangor: A Prelimenary Investigation, Sanib Said 1983
Label:
SEJARAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Saya tertarik dgn sejarah Sharip Masahor ini dan mungkin ada kaitan dgn kami di Sabah
ReplyDeleteMoyang saya, Bujang/Ag. Bujang yg dikatakan berasal dr Mukah telah ke Brunei sekitar tahun 1820-1835 m dan berkahwin dgn Pg. Sarbanun bte Pg. Badarudin bin Pg. Rajid bin Pg. Imas Kassim bin Sultan Saiful Rizal. Selepas berkahwin, beliau berdua kemudian diburu oleh Sultan Omar Ali Saifuddin 2. Beliau berdua bersembunyi di Selatan Sabah dan akhir menetap di Kg. Binsulok, Kuala Membakut. Sehingga kini kami tdk tau siapa bapa beliau dan kerabatnya di Mukah. Mohon pencerahan sekiranya ada maklumat yg berkaitan. Facebook saya, Mrrahman Ujang. Tq
ReplyDelete